PUTRAJAYA 22 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, para penjawat awam perlu berani menilai dan mengkaji semula amalan-amalan masa kini bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan.
Perdana Menteri mengingatkan bahawa mereka perlu mengakui masih ada penambahbaikan yang perlu dilakukan terhadap sistem berkenaan.
Beliau berkata, ini termasuk melihat kembali sistem dan prosedur kerja sedia ada, undang-undang dan peraturan yang diguna pakai, peralatan dan kelengkapan yang digunakan serta tahap kemahiran anggota organisasi yang melaksanakan tugas.
''Yang penting, kita perlu berani berubah sebelum perubahan menenggelamkan kita serta kita perlu sentiasa relevan dan peka dengan kehendak pelanggan.
''Kita perlu sentiasa memperbaharui ilmu dan menerajui arus perkembangan agar dapat sentiasa memberikan perkhidmatan yang tepat, cepat dan terbaik," katanya.
Beliau berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) 2010 di sini malam ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Tabung Kemanusiaan Bencana Alam Jepun JPM.
Najib memberitahu, sebagai nadi penggerak dan teras utama jentera pentadbiran Kerajaan Persekutuan, JPM menzahirkan kejayaan dalam melaksanakan usaha inovasi dan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan.
''Dalam menjayakan gagasan besar negara, semua tindakan pelaksanaan kita hendaklah berpaksikan kepada membuat sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan dan mencari penyelesaian kreatif dalam mencapai matlamat akhir pembangunan negara," katanya.
No comments:
Post a Comment